JUADAH HATI

Saturday, June 8, 2013

~~biarkan aku disini~~

biarkan aku disini mencari serpih hatiku...
yang berkeping jatuh membawa kisah hidupku...
jauh dari semua menutup lukaku...
yang kian robek merawat jiwaku.
Sendiri!

andai  nanti aku berhenti tersenyum..

andai kata aku berhenti lakarkan kisah tentangmu,

andai kata kita tidak lagi seperti dulu ...

hingga sudah ada ceritamu,cerita ku..

andai kata tiada lagi bicara antara kau dan aku..

mahukah kau ampuni aku..

kerana ketika semua itu berlaku..

itu bermaksud telah tiada kamu di hatiku. 

Titik!


Monday, May 20, 2013

serangkai kata {BYS}

Wajah sejuk disentuh angin
angin sepoi bertiup nyaman
terasa sejuk diselimuti dingin
dingin malam mengintai bulan

Dalam ingin menghulur kata
kata disambut di balik silu
terlukis indah kerdip mata
mata bersatu tersipu malu

Terukir indah wajahmu dewi
meski sesat di hujung jalan
gelap hari dibuai sepi
sepi malam mimpikan bulan

Waktu menari di lantai masa
masa terhenti di kaki senja
lembut lidah mengalun rasa
dibalas mata melirik manja

Wednesday, May 1, 2013

BAB 1



“Nak ke mana?”

Pertanyaan Puan Jasmin itu sedikit memeranjatkan Afra yang baru hendak melangkah keluar rumah.

“Ke Darul Hanan.” Balas Afra tenang.

“Selalu sangat ke sana, buat apa? Afra bukan tak tau tempat macam tu bukannya elok... selalu dipandang serong oleh masyarakat.”

Terbeliak mata Afra dengan kata-kata ibunya. Pundi hati tepu dengan rasa sedih. Darul Hanan banyak mengajar dia tentang Islam. Darul Hanan itu banyak membuka matanya mengenai kalam Allah. Apa yang serong?

“Tak ada yang tak elok mama. Afra ke sana jumpa umi, jumpa abi...”

“Firdaus pun ada kan?”

“Astaghfirullah mama! Abang Firr dengan Afra kan saudara susuan. Apa mama dah lupa dua tahun lamanya Afra menyusu dengan umi? Apa yang mama nak risaukan?”

“Kau akan bertunang Afra. Apa kata bakal tunang kau nanti bila tahu kau selalu berulang ke sana?”

Afra membuang keluh. Wajah tidak puas hati Puan Jasmin dipandang sekilas.

“Afra pergi dulu mama.”

“Afra!!”

Jerit Puan Jasmin geram. Namun Afra terus melangkah. Bukan dia tidak perasan dengan sikap ibunya terhadap Abi Daud dan Umi Majidah yang sudah berubah. Mungkin ibunya sudah lupa pada jasa Umi Majidah... Umi Majidah yang telah menjadi ibu susunya. Dua tahun lamanya. Waktu itu mama terlantar sakit sebaik sahaja dia dilahirkan. Bukankah mama juga selalu bercerita betapa baiknya Umi Majidah itu? Bukankah mama juga pernah berpesan agar jangan lupa pada jasa umi? Argh, manusia memang mudah lupa! Sering khilaf pada kebaikan orang lain. Apatahlagi bila hidup sudah serba mewah. Semua kelengkapan hidup sudah terhidang. Sehingga terlupa pada budi yang pernah ditabur... lupa pada perlunya orang lain dalam hidup.

Namun, apa yang mereka tidak nampak adalah hidup Afra yang kosong. Bertahun-tahun terasa asing dalam istana mewah ibu bapa sendiri. Kekurangan sesuatu nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Limpahan kemewahan tidak bermakna jika hidupnya sentiasa sunyi. Kesibukan ibu bapanya menjadikan rumah besar dan mewah mereka sepi... sunyi.



Mata bundar Afra masih terpaku memandang halaman Darul Hanan. Pokok bunga raya yang ditanam umi di depan rumah berbunga lebat, tapi ada kuntuman yang sudah layu ditangkainya. Hari kian petang, cahaya kian suram bila matahari sudah condong ke barat. Hatinya tenang setiap kali duduk di beranda rumah itu sambil dibelai angin sepoi-sepoi bahasa. Terasa sejuk di kulit pipinya.

Terkenang ayahnya... terfikir ibunya, hati dibalut rasa terkilan. Entah di mana silapnya, jurang antara mereka kian melebar selaras dengan waktu yang berganjak. Berulangkali mencuba untuk menutup jurang itu, namun ada sahaja yang tidak kena. Sepertinya telah menemui jalan buntu.

‘Ah... perjalanan hidup ini memang susah untuk difahami. Ada masa sukar untuk membezakan diri untuk gembira, bahagia atau sebaliknya’... bisik Afra perlahan.

“Afra...”

Afra terpinga-pinga. Terlepas semua bisikan kalbunya. Terkebil-kebil anak matanya memandang susuk tubuh yang berdiri tegak di halaman rumah sambil memerhati dirinya.

“Abang Firr!”

“Jauh benar fikiran dibawa melayang. Sudah sampai ke jiwa yang dikenang barangkali.” Firdaus ketawa perlahan.

Afra turut ketawa. “Abang Firr ni...” balasnya mengulum senyum. Tertangkap ketika sedang mengelamun panjang membuatkan dia termalu sendiri.

“Siapa?” tanya Firdaus, sengaja menduga hati Afra.

“Entah.” Sepatah dia membalas.

“Laa... tak tahu pulak. Sengaja nak rahsia?”

“Rahsia apa?”

Firdaus tergeleng kepala. Dilabuhkan punggungnya perlahan-lahan di kerusi menghadap Afra.

“Siapa yang dikenang?”

“Yang ada di sini... yang sentiasa dekat di hati.” Sayu suaranya sambil tangan kanannya melekap di dada. Memang dia sedang mengenang ibu dan ayahnya.

Firdaus terdiam. Tiba-tiba hatinya berubah rentak. Gembira berbaur rawan. Gembira kerana Afra sudah menjadi wanita dewasa yang cantik. Rawan kerana dia bakal kehilangan Afra bila-bila masa sahaja. Afralah teman berbual yang paling baik. Pendengar yang setia juga.

“Ohh... dah adalah ni.” Duganya lagi.

“Mestilah ada.”

“Handsome macam abang tak?”

Afra ketawa mengusik. “Abang handsome ke?” Wajah Firdaus direnung lama.

“Eh, mestilah! Berderet-deret tau nakkan abang.” Firdaus turut ketawa.

“Ya Allah... tak sangka abang Firr ni perasan orangnya. Tapi kan, kalau ada seorang yang macam abang kat luar sana, tak payah tunggu dia mengorat orang... orang sendiri yang akan pergi ngorat dia.”

“Eh, samalah macam yang ada dalam hati abang. Maknanya...”

“Maknanya... abang memang jadi rebutan gadis-gadis kat luar sana, gitu?”

“Tidak syak lagi!”

“Eleh, tak habis-habis perasan.”

Sayup-sayup kedengaran suara laungan azan dari bilik yang telah diubahsuai menjadi surau bagi penghuni Darul Hanan di penjuru kanan rumah besar abi. Firdaus dan Afra sama-sama terdiam. Perbualan mereka terhenti.

“Tidur sini malam ni? Gelanggang silat dibuka untuk hari pertama.” Kata Firdaus sambil berdiri perlahan.

“Tahu... umi dah bagi tahu.”

“Jadi... tidur sini?”

“Tak tentu lagi. Belum minta izin dari mama. Kalau mama izin, tidurlah. Orang masuk dulu ye.”

Mereka mula melangkah pada arah yang berbeza. Firdaus ke arah kanan dan Afra ke arah kiri. Namun mereka akan berjemaah dengan semua penghuni Darul Hanan berimamkan Abi Daud.

Tuesday, April 30, 2013

Bulan Yang Satu



Aku mencintai matahari... kata bulan.

Kerana ia dapat membuatku bersinar indah di waktu malam.

membuat aku selalu ditunggu oleh para pencinta malam

dinanti oleh pujangga yang menulis bait-bait puisi cinta

Aku ingin menemani bulan... kata bintang

meski bulan hanya menanti matahari

namun aku sangat merindukannya

dan aku tetap akan menatap bulan

sambil berharap satu hari nanti

bulan dapat mencintai aku

dan ketika itu aku akan terus terbang ke langit

untuk menemani bulan sampai bila-bila

Thursday, February 14, 2013

CINTA ITU BAHAGIA






Dia sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa dia bukan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim Alaihis-Salam. Siti Hajar yang menggambarkan keyakinan seorang isteri solehah kepada Allah Azza wa Jalla, tunduk akan perintahNYA dan tidak menjadi bingung walau tidak dihirau suami. Siti Hajar yang yakin bahawa Allah tidak akan membiarkannya seorang diri walau dia diletakkan di tempat yang tidak ada air. Dia tahu dia tidak sesabar Siti Hajar. 

Dia bukan Siti Hajar. 

Dia tidak sehebat itu. 

“Perkahwinan merupakan bentuk hubungan rumah tangga yang paling agung, maka Islam melengkapinya dengan berbagai tanggungan, memberi hak kepada setiap pasangan. Jika kewajipan masing-masing terlaksana, pasti akan tercipta ketenangan dan kebahagiaan.” 

Dia teringat pada pesan arwah ibunya sehari sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Terimbas semula wajah sayu arwah ibunya saat izin diberi. 

“Kita tak ada sesiapa, ibu khuatir andai Adni dipersia.” 

Wajah ibunya dipandang lama. Adni menarik nafas dalam-dalam. 

“Insya-Allah Irfan Zaim tak akan persiakan Adni. Bukan sehari dua kami kenal.” Adni menanam yakin. 

“Benar. Sudah bertahun kamu berkasih. Namun tidak sehari pun ibu Zaim restu akan hubungan kalian. Datin Kamalia tetap tak sudi bermenantukan Adni. Walau tinggi bergunung pun kasih Zaim pada Adni, ibu tetap bimbang.” 

Adni kembali memeluk tubuhnya. Angin malam yang menampar terasa sejuk hingga ke tulang. Ibu.....bimbang ibu jadi nyata...bisiknya pada gelap malam. Tubir matanya terasa hangat tiba-tiba. Sungguh dia tidak punya sesiapa untuk mengadu. Ayah sudah lama pergi. Malah tidak sempat pun mewalikannya. Ibu pula.....menyusul arwah ayah selepas enam bulan dia sah menjadi isteri Zaim Irfan. Lantas pada siapa harus dia berkeluh resah? Pada siapa harus dia berkongsi rasa? 

Zaim Irfan?? Suaminya itu???? 

Entah! Aduhai....isteri apakah dia sehingga suami di mana pun dia tidak tahu. Nafas berat dihambur keluar. Kasar sahaja bunyinya. 

Dia bukan Siti Hajar 

Dia tidak seyakin wanita hebat itu. 

Malah untuk mencontohi kesabaran wanita agung itu pun serasa tidak mampu. 

Segala-galanya bermula amat pantas dan sedikit sukar dikutip ingatan itu semula. Satu per satu. Seringkali dia bertanya pada diri, adakah dia sedang bermimpi atau sedang berenang di lautan hakikat? 

Dia barangkali bermimpi jika masih tidur. 

Namun bila sedar, hari-harinya mulai sepi. Tiada siapa hendak diajak bicara. Dan yang tinggal hanya ruang-ruang kosong. Rutin itu pula berulang-ulang. Bermula hari demi hari, kemudian berganjak ke minggu dan sehingga hari ini sudah makan berbulan lamanya....akhirnya dia sedar dia tidak bermimpi. Tidak pernah bermimpi pun. 

Dia masih bernafas, masih bernyawa malah masih mampu berjalan di muka bumi. 

Dia mesti meneruskan kehidupan. 

“Adni janji dengan ibu..... tak akan rebah walau dipersia suatu hari nanti. Adni mesti seyakin Siti Hajar saat dia ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di tengah-tengah Kota Mekah yang kering kontang. Yakin bahawa Allah tidak akan melalaikan dan menyia-nyiakan Adni. Adni janji dengan ibu ya.” Jari-jemarinya ibu genggam erat. 

Adni memejamkan mata erat-erat. Wajah arwah ibu terbayang lagi. Kata-kata arwah ibu dua minggu sebelum dia pergi kembali terngian-ngiang. Arwah ibu bagaikan sudah terhidu apa yang akan berlaku. Mata tua itu bagaikan dapat melihat ketidaksempurnaan rumah tangga yang dibinanya. 

Benar ibu. Benar kata-kata ibu. 

Bukan mudah mempertahankan kasih andai ada yang benci. 

Sukar untuk meneruskan cinta andai ada yang tidak suka. 

Sunday, January 20, 2013

COVER

Coming soon...Februari 2013
pada yang mengikuti 'Dandelion ditiup Angin'
... inilah covernya